MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pelabuhan Miri di Delta Batang Baram di Miri pada Rabu.
Premier Sarawak itu berkata, pelabuhan tersebut akan memberi manfaat ekonomi kepada pelbagai sektor di bandar raya ini pelabuhan minyak ini.
Kata beliau sektor yang dijangka akan mendapat kesan ekonomi termasuk kargo kontena dengan menggunakan kemudahan yang terkini.
“(Yang) kedua adalah untuk kapal-kapal persiaran (mewah yang) mungkin boleh singgah di sini seperti kapal yang ada sekarang (Royal Caribbean Cruises) yang pergi ke utara Semenanjung Malaysia dan juga selatan Thailand.
“Ia juga boleh menjadi route permulaan ke Indonesia dan kemudian boleh singgah di Miri dan ini bermakna mereka boleh menyediakan kemudahan untuk para pelancong yang menggunakan kapal peranginan,” katanya.
Selain itu, Abang Johari juga berkata pelabuhan ini bukan sahaja akan menggerakkan aktiviti ekonomi tempatan tetapi juga berpotensi menjadi hab pelancongan utama dengan kedudukan strategik sebagai lokasi perhentian kapal persiaran.
Katanya, pelabuhan Miri berpotensi untuk menyaingi pelabuhan di Singapura kerana status Miri sebagai bandar peranginan.
“Pelabuhan ini bakal menjadi pelabuhan besar yang setanding dengan Singapura kerana kita adalah bandar peranginan.
Malah, resort di sini akan menghadap Laut China Selatan,”ujar beliau.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, laluan perkapalan yang menghubungkan Singapura, Bali dan Miri bakal menarik lebih ramai pelancong.
“Kapal persiaran yang berlayar dari Singapura ke Bali berkemungkinan akan singgah di Miri dan Kuching sebelum meneruskan perjalanan, menjadikan Miri sebagai destinasi yang lebih popular di kalangan pelancong.
"Ini akan meningkatkan aktiviti ekonomi kita, termasuk industri kraftangan tempatan,” tambah beliau.